Wednesday, July 2, 2014

Tagged Under:

KAJIAN KES PERCINTAAN PELAJAR IPTA

Share

KAJIAN KES PERCINTAAN PELAJAR IPTA

Beliawanis yang sedang bercinta dan dihormati, zaman muda merupakan zaman yang amat istimewa bagi kita. Nikmat kemudaan seharusnya disyukuri dengan cara yang betul. Inilah zaman yang amat mencabar yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah. Nabi telah bersabda “Tidaklah tidak akan berganjak seseorang hamba di hari Kiamat melainkan sesudah ditanya kepadanya tentang empat perkara” :

Pertama tentang umurnya, dimana dihabiskannya, TENTANG MUDANYA, apa yang telah dilakukan dengannya, tentang hartanya, dari mana diperolehi dan ke mana dibelanjakannya. Dan tentang ilmunya, apa yang telah dilakukan dengannya." (Hadis Tarmuzi). Orang muda mudah dilamun cinta Kasih dan cinta pula adalah perasaan yang fitrah bagi manusia. Allah menceritakan tentang perasaan fitrah ini di dalam Al-Quran dengan firmanNya: "Dihiaskan bagi manusia kecintaan kepada perkara-perkara yang diingini nafsu berbentuk perempuan-perempuan, anak pinak, harta benda yang banyak dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih, binatang-binatang ternakan dan kebun tanaman.Itulah kesenangan hidup di dunia sedangkan di sisis Allah ada di tempat kembali yang sebaik-baiknya” ( Al Baqarah 2 : 165 ). Ayat ini menceritakan tentang percintaan atau kasih atau pemujaan kepada makhluk sehingga kita sanggup menuruti dan mematuhinya dalam melakukan maksiat. Dalam erti kata yang lain, kita utamakan kehendak makhluk daripada kehendak Allah. Ketika itu kita telah syirik kepadaNya. Cinta yang membawa kepada kepatuhan yang membuta tuli amat membinasakan.

Bila cinta lelaki perempuan mengatasi cinta Allah, maka terjadilah perkara-perkara yang tidak baik seperti khalwat, zina, rogol, pergaulan bebas dan sebagainya. Sebagai contohnya kajian Kementerian Belia & Sukan ke atas 5860 remaja dalam lingkungan umur 13-21 tahun pada tahun 1994 mendapati bahawa 28% daripada mereka telah terlibat dengan seks bebas. Lapuran akhbar bertarikh 1 November, 1995 menyebutkan tentang kenyataan Menteri Kesihatan Malaysia berhubung satu kajian yang telah dibuat keatas sekumpulan remaja berumur 16-18 tahun di Wilayah Persekutuan, di mana di dapati 50% daripada mereka telah mengadakan hubungan seks, termasuk dengan melanggani pelacur-pelacur. Inilah manifestasinya bila nafsu mengatasi iman. Cinta yang melahirkan manifestasi seperti ini membawa kepada kehancuran. Amat berbeza sekali sikap mereka yang benar-benar beriman, yang mana tindakan mereka sentiasa dikawal oleh batas-batas syariat.

Di dalam Al-Hilyah disebutkan tentang Ummu Sulaim yang pernah dilamar oleh Abu Talhah, sebelum beliau (Abu Talhah) menganuti Islam. Abu Talhah ketika itu cukup kacak dan kaya raya. Jawapan Ummu Sulaim jelas melambangkan keperibadiannya yang tinggi: "saya cintakanmu. Orang yang sepertimu tidak akan ditolak. Tetapi kamu seorang kafir dan saya tidak boleh berkahwin dengan seorang yang kafir." Inilah ungkapan daripada hasil suluhan iman dan takwa. Cinta tidak akan menyebabkannya menggadaikan maruah dan harga diri.

Zina yang ikhlas tidak pernah wujud dalam Islam. Zina adalah haram dan tidak ada sebarang keikhlasan yang dapat menghalalkannya. Seperti kisah seorang datuk yang telah dilaporkan oleh akhbar pada 6 Ogos, 1999. Beliau telah menceritakan di mahkamah tentang hubungan seksnya dengan seorang pembaca berita RTM. Beliau mengatakan bahawa niatnya adalah suci kerana dia telah berazam untuk mengahwininya selepas ini. Inilah nilai yang sedang melanda dunia hari ini. Seks dianggap suci walaupun tanpa perkahwinan.

Pada pengamatan saya, dunia pada hari ini sedang dilanda krisis. Satu di antaranya ialah krisis nilai. Krisis nilai inilah yang telah meruntuhkan Empayar Rom. Edward Gibbon dalam bukunya "The History of Decline and Fall of the Roman Empire" telah menulis: "Segala dasar-dasar akhlak dan moral di Rom telah runtuh sehingga ramai orang memilih jalan untuk hidup bebas?..Di akhir abad keenam, Kerajaan Romawi Timur sedang berada di ambang keruntuhan yang paling dasyat sekali. Saya harus menyatakan bahawa nilai pada hari ini banyak diasaskan kepada konsep "Machiavellianisme" yang dipopularkan oleh seorang pemikir dari Florence, Italy yang bernama Niccolo Machiavelli. Machiavelli, dalam bukunya "The Prince" telah menekankan konsep "the end justifies the means" ataupun "niat membersihkan cara." Maksudnya asalkan niat kita baik, berzinalah, menipulah, khianatilah, menyamunlah dan lain-lain perbuatan keji adalah halal bagi Machiavelli.

Itulah yang akan berlaku andai kata nilai-nilai agama diketepikan.Sebagai contoh, sebuah perkampungan di Alwar, India telah mengiktiraf pelacuran sebagai suatu perkhidmatan yang baik. Perkhidmatan seks di tepi lebuhraya yang menghubungkan Delhi dan Gujurat ini, dianggap sebagai aktiviti kebajikan sosial yang terpuji. Inilah contoh nilai yang keji yang tidak diperlukan oleh dunia moden. Ada yang mengatakan bahawa pergaulan dan seks bebas pada hari ini adalah lambang kemajuan dan kemodenan, dan nilai agama adalah kolot. Jika demikian mari kita perhatikan hasil yang telah disumbangkan oleh seks bebas. Ia telah berjaya merebakkan penyakit AIDS, contohnya di Thailand, sehinggakan akhbar "ada Spiegel" telah menjadikan tajuk "AIDS in Asia - Killer epidemic in sex paradise (AIDS di Asia -wabak pembunuh di syurga seks)," sebagai tajuk muka depannya. Di California, hampir 61,000 bayi luar nikah dilahirkan pada tahun 1997.Kajian tambahan oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan Amerika pada tahun 1998, mendapati bahawa anak-anak luar nikah ini mempunyai lebih daripada 2 kali ganda kemungkinan diserangi gangguan emosi di dalam hidup mereka. (Rujukan: California Teenage Pregnancy Statistics) Sumbangan yang seperti inikah yang handak kita banggakan.

Kita di Malaysia juga telah dimalukan dengan penonjolan kes pembuangan bayi luar nikah di kalangan remaja-remaja kita. Inilah hasil kemajuan dan kemodenan jika agama dipinggirkan. Kita perlu belajar daripada keruntuhan Rom. Islam menekankan bahawa niat dan cara kita perlu betul di dalam setiap perlakuan. Niat yang betul bermaksud ikhlas, cara yang betul bermaksud selari dengan syariat. Syariat telah mengharamkan zina justeru itu hendaklah kita menjauhinya, demi kebaikan kita sendiri.Nabi telah bersabda: "Selepas dosa syirik kepada Allah, tidak ada dosa yang lebih besar daripada seseorang meletakkan air maninya ke faraj yang tidak halal baginya." (Hadis Ahmad & Thabrani). Nilai akhlak inilah yang merupakan landasan dan kayu pengukur bagi kita. Akhlak tidak menghalang kehendak-kehendak fitrah, malah ia mencantikkannya. Sebagai contoh Islam tidak pernah menyuruh kita menutup nafsu seks, sebaliknya menyalurkannya kepada sesuatu yang murni, selamat dan mendamaikan seperti melalui perkahwinan.


Antara keluhan yang sering diluahkan oleh para siswa-siswi di IPT ialah tidak mempunyai kemampuan untuk berkahwin. Tuntutan naluri muda mereka menyeru mereka untuk berkahwin. Persekitaran yang diwarnai oleh kefasadan dan maksiat juga menuntut mereka untuk menghalalkan perhubungan berlainan jenis yang merupakan sifat tabi’i manusia.

Kajian-kajian oleh sesetengah pihak dan juga laporan-laporan media membuktikannya. sama ada hasil kajian yang pernah didedahkan oleh akhbar kosmo pada awal tahun 2006, mahupun apa yang telah dilaporkan oleh NST pada 18 Ogos 2006. Kesemuanya membuktikan kemelut yang sedang dihadapi oleh para siswa dan siswi di IPT-IPT. Sayang sekali, kemampuan material mereka tidak membenarkan pernikahan dilangsungkan di alam pengajian. Ibu bapa moden yang berfikiran materialistik dan kolot juga menjadi penghalang utama. Bagi para ibubapa, anak-anak mestilah menghabiskan pengajian, mestilah mempunyai kerja yang tetap dan kukuh, membeli kereta, barulah anak-anak tersebut boleh berkahwin. Akhirnya, anak-anak di IPT bergelumang dengan dosa berpacaran dan berkhalwat yang dilarang oleh Allah S.w.t.

Adakah kemampuan untuk bernikah terletak pada kerjaya, segulung ijazah, kereta, ataupun gaji yang lumayan? Menurut jumhur ulama, kemampuan yang dimaksudkan oleh hadis di atas adalah kemampuan untuk membayar mahar (mas kahwin dan bukan hantaran). Mahar boleh di dalam pelbagai rupa. Ada sahabat yang memberikan mahar hanya dengan sebentuk cincin besi sahaja. Malah ada yang memberikan mahar di dalam bentuk surah al-Quran yang mereka hafal. Apa yang menjadi persoalan utamanya, institusi kekeluargaan itu mesti dipopularkan. Usaha untuk memudahkan pembentukansebuah institusi kekeluargaan itu adalah satu kewajipan di dalam mana-mana komuniti. Perhubungan secara halal akan dapat mengelakkan banyak masalah sosial yang dihadapi masyarakat. Sayang sekali jika usaha pembentukan mahligai yang suci ini sentiasa dihalangi oleh batas-batas material yang kita sendiri ciptakan.

Ibn al-Qayyim pula mempunyai pentafsiran yang lebih ekstrim berhubung "kemampuan" yang disebutkan oleh hadis tersebut. Bagi beliau, kemampuan yang dimaksudkan ialah "kemampuan fizikal". Oleh yang demikian, barangsiapa yang tidak mempunyai kemampuan "fizikal" untuk menjalankan tanggung jawab sebagai suami, hendaklah mereka berpuasa untuk menjana kekuatan "dalaman". Walau bagaimanapun, ini bukanlah pendapat yang popular. Pendapat jumhur ulama mengenai kemampuan yang ditafsirkan sebagai kemampuan untuk membayar mahar merupakan pendapat yang kuat.

Penentuan mahar antara persoalan yang mungkin timbul lewat perbincangan mengenai mahar ialah, milik siapakah "penentuan mahar" tersebut. Adakah ianya milik si dara, ataupun bapanya. Di dalam pengamalan masyarakat Melayu dari dahulu lagi, si bapalah yang menentukan kadar mahar si gadis. Jika mereka letakkan terlalu murah, nanti ada yang megatakan, anak gadisnya terlalu murah. Jika mereka letakkan terlalu mahal, nanti ada pula yang mengatakan, mereka menjual anak. Maka adat dan harga pasaran tempatanlah yang menjadi ukuran. Apa yang penting, mahar adalah hak mutlak si bapa untuk menentukannya. Lazimnya di Malaysia, orang utara terkenal dengan mahalnya mahar, orang Pantai Timur terkenal dengan mahar yang rendah, manakala orang di tengah dan selatan mengukurnya mengikut keadaan keluarga dan juga kebiasaan saudara mara. Adakah ini bertepatan dengan Islam?

Di dalam Islam, si gadislah yang mempunyai kuasa mutlak ke atas maharnya. Si gadis mempunyai kuasa penuh untuk menentukan jumlah mahar yang beliau kehendaki. Walaupun al-Quran dan al-Sunnah tidak menghadkan harga siling untuk mahar, namun Rasululah SAW menasihatkan anak-anak gadis agar tidak meletakkan mahar yang terlampau tinggi. Gadis-gadis yang menuntut mahar yang rendah dipuji oleh Rasulullah SAW. Perkara seumpama ini tidak berlaku di Malaysia kita, malah ianya juga tidak berlaku di kebanyakan negara-negara Islam. Uruf atau adat yang banyak memainkan peranan. Si bapa yang mempunyai kuasa dominan sering berperanan untuk menentukan jumlah mahar anak-anak gadis mereka. Kebiasaannya,ianya diukur menurut jumlah kos perbelanjaan perkahwinan yang terpaksa mereka tanggung.

Isu yang cuba diketengahkan di sini ialah, adakah perletakan mahar yang tinggi sesuai untuk warga IPT?, ataupun kita terus akur dengan adat lantas menghalang anak-anak di IPT daripada berkahwin, semata-mata kerana halangan mahar yang tidak mampu untuk mereka bayar Berterusanlah anak-anak di IPT di dalam gelombang maksiat di atas nama coupling dan kebebasan individu. Cara mengatasinya Jika benar para siswa dan siswi ingin mengelakkan diri dari melakukan maksiat dan berniat untuk menghalalkan perhubungan mereka, mereka hendaklah bernikah. Itulah sahaja penyelesaiannya. Seumpama tema NOKIA, "Nokia – connecting people", kita mengatakan "NIKAH – Connecting people". Alasan yang sering diungkapkan ialah "Duit tak ada, tapi hati mahu kahwin…"Apakah tiada solusi yang praktikal di dalam hal ini?, tidak!, solusinya ada, Cuma kesungguhan yang tiada. Apakah solusinya?

Peranan Jabatan-jabatan agama dan pusat-pusat zakat Salah seorang siswa pernah mengadukan kerenah birokrasi yang dihadapi beliau untuk bernikah di zaman pembelajaran. Jabatan-jabatan agama bagaikan tidak menggalakkan anak-anak IPT bernikah dengan mudah. Mungkin mereka lebih gemar untuk mengendap dan memberkas pasangan yang berkhalwat daripada menggalakkan anak-anak muda bernikah. Imam-imam dan para kadi juga nampaknya kurang "jantan" di dalam perkara ini. Majoriti mereka lebih takutkan prosedur dan juga apa yang termakstub di atas kertas berbanding dengan apa yang tertulis di dalam al-Quran dan sunnah. "Saya tidak ada kuasa, nanti saya yang akan kena dakwa!", merupakan ungkapan-ungkapan yang biasa didengari dari mulut para imam dan kadi yang diminta untuk memudahkan urusan perkahwinan anak-anak muda IPT yang tidak dapat melalui proses birokrasi yang konvensional.

Pernah berlaku, seorang muallaf yang ingin bernikah tetapi tidak mendapatkan surat pengesahan masuk Islam dari negara asalnya telah dihalang daripada berkahwin oleh seorang jurunikah di ibu negara. Muallaf tersebut telah membandingkan proses perkahwinan yang jauh lebih mudah di negaranya yang kafir melalui khidmat gereja berbanding dengan proses pernikahan di Malaysia "Darul Islam" ini. Bukan sekali, sepanjang umur saya yang masih muda ini, sudah dua tiga kali para muallaf mengadukan hal yang sama. Lebih parah, ada di antara juru nikah yang tidak berani menikahkan sepasang muallaf hanya kerana tiada surat sokongan dari bapa si gadis yang bukan Islam. Mungkin gambaran ini hanya segelintir kerenah yang terpaksa dihadapi oleh anak-anak muda bila berhadapan dengan kerenah birokrasi jabatan-jabatan agama dan juru nikah-juru nikah. Realitinya mungkin lebih banyak lagi masalah yang mereka hadapi. Tidak hairanlah mereka mengambil jalan yang mudah, iaitu dengan berzina atau bersekedudukan mahupun berpacaran yang jauh lebih mudah. Malangnya, di dalam kes mengendap dan mencekup pasangan yang berzina dan berkhalwat, personel-personel agama ini akan bersikap pro-aktif!

Sewajarnya jabatan-jabatan agama dan personel-personel agama ini memudahkan proses perkahwinan anak-anak muda. Lebih baik lagi jika disediakan satu pakej perkahwinan IPT di mana prosesnya dimudahkan dan diberikan bonus serta saguhati. Bukankah di dalam usul al-fiqhada kaedah "fath al-dharai’" (membuka jalan-jalan kebaikan). Bukankah juga kaedah fiqh juga ada yang mengatakan "al-wasilah yak hudhu hukmu al-ghayah" (hukum kepada jalan yang membawa kepadasesuatu perkara adalah mengikut hukum matlamatnya). Rasulullah SAW juga ada bersabda: "Penunjuk jalan kebaikan akanmendapat pahala seperti pembuatnya".

Jabatan-jabatan agama juga sepatutnya tidak hanya mengadakan kursus-kursus perkhawinan, tetapi juga hendaklah menganjurkan kursus "promosi perkahwinan" dan juga "karnival nikah" seperti karnival membeli belah. Eksperiman Jabatan Agama Wilayah menganjurkan perkahwinan beramai-ramai patut dicontohi oleh semua jabatan agama di seluruh Malaysia. Pusat zakat juga sepatutnya bekerjasama dengan jabatan-jabatan agama agar dapat mengurangkan beban mahar yang terpaksa ditanggung oleh pasangan-pasangan muda ini. Upacara perkahiwnan beramai-ramai ataupun "karnival nikah" ini juga sepatutnya dijadikan upacara penarik pelancong. Laksanakan ia di Dataran Merdeka ataupun di dataran KLCC agar ianya benar-benar dijadikan sebagai karnival. Biarlah seluruh negeri melakukannya, biarlah ianya menjadi lebih hebat dari "Jom Heboh". Rasanya, kerjasama TV3 juga perlu, mungkin mereka juga boleh menjadikannya sebagai acara "Nikah Heboh". Karnival tersebut jangan hanya diserikan dengan acara nikah dan makan sahaja, tetapi pameran, forum perdana, ceramah, persembahan nasyid dan sketsa serta jualan murah barang-barang keperluan harian untuk keluarga juga patut dijadikan acara sampingan.

Peranan IPT. Jika ada IPT yang hendak diberikan penghormatan mengenai usaha menggalakkan perkahwinan para penuntutnya, markah yang penuh wajar diberikan kepada UIAM. Semenjak dahulu lagi UIAM menggalakkan siswa dan siswi bernikah dengan memberikan saguhati kepada mereka. Mungkin jumlah yang diberikan itu tidaklah dapat menampung sepenuhnya mahar yang tinggi di Malaysia, namun ianya akan dapat menampung serba sedikit bebanan itu. Diharapkan agar saguhati yang diberikan itu dapat digandakan di masa-masa hadapan demi mengurangkan gejala maksiat di kalangan siswa dan siswi yang kini tidak mengenal sempadan. IPT-IPT lain juga wajar mencontohi UIAM di dalam hal ini. IPT-IPT juga wajar menganjurkan karnival nikah untuk mengurangkan perbelanjaan kenduri kahwin oleh para pasangan muda. Jadikan ia acara tahunan. Pusat zakat juga boleh memainkan peranan mereka untuk membantu IPT-IPT di dalam menjayakan hal ini. Saguhati atau bonus juga sepatutnya diberikan kepada pasangan-pasangan yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan mereka. Sebagai contoh, mereka yang mendapat CGPA melebihi 3.5, bonus daripada HEP akan diberikan. Melalui cara yang sedemikian, masalah penurunan prestasi belajar siswa dan siswi yang telah berkahwin akan dapat diatasi. Blok asrama untuk kelamin juga wajar diwujudkan untuk mengurangkan kos sewa rumah di kalangan pasangan-pasanganmuda di IPT.

Yakinlah, jika perkara seperti ini tidak dilakukan, gejala maksiat akan semakin berleluasa di masa hadapan. Lebih ditakuti lagi, apabila maksiat sudah dipandang biasa dan sudah menjadi norma. Pada waktu itu, masyarakat yang wujud akan menjadi masyarakat yang bobrok serta punah. Jika IPT-IPT tidak mengambil inisiatif pun, akan sentiasa terdapat pasangan siswa dan siswi yang akan menggunakan cara lain untuk bernikah. Kelazimannya, Golok akan menjadi destinasi terakhir mereka untuk menghalalkan perhubungan cinta yang sudah tidak dapat dibendung dan dihalang.


Simpanan khas. Para siswa dan siswi tidak sewajarnya hanya mengharapkan pihak lain melakukan sesuatu sahaja. Mereka perlu bersikap pro aktif. Para siswa dan siswi sepatutnya telah mula merancang kehidupan mereka di masa hadapan semenjak hari mereka mengakhiri peperiksaan SPM. Satu akaun khas untuk kehidupan masa depan wajib diusahakan. Pastikan sejumlah daripada segala pendapatan bulanan dimasukkan ke dalam akaun khas tersebut. Lebih baik jika ianya dimulakan lebih awal daripada itu. Bukan hanya pihak siswa sahaja, malah pihak siswi pun sepatutnya juga mempunyai usaha yang sama. Pastikan segala duit perolehan hasil durian runtuh juga dimasukkan ke dalam akaun khas berkenaan. Usaha sebegini akan memberikan keyakinan kepada ibubapa bahawa anak-anak mereka sudah matang dan mempunyai wawasan.m Kebiasaannya ibubapa ragu-ragu tentang kematangan anak-anak. Mereka masih lagi risaukan tahap pemikiran dan kematangan anak-anak mereka. Turut silap juga ialah anak-anak juga yang tidak menunjukkan kesungguhan dan kematangan. Para ibubapa tidak dapat melihat bukti yang anak-anak mereka benar-benar mampu untuk berdikari. Perkara sebaliknya jika mereka mendapati anak-anak tersebut telah mempunyai perancangan dan mempunyai wawasan. Kematangan anak-anak akan segera dapat dihidu. Amat mengecewakan ramai di kalangan siswa dan siswi yang ingin berkahwin tetapi tidak mempunyai perancangan yang teliti dan boleh dipercayai. Lebih mengharukan lagi jika mereka hanya beriya-iya hendak kahwin di mulut sahaja, tetapi tidak bersikap matang di dalam tindakan. Di dalam hal ini jangan dipersalahkan ibubapa yang bersikap konservatif, salahkan diri sendiri dahulu. Moralnya, mulalah mengumpul duit dari sekarang.

Pendapatan sampingan. Di pasaran kini, buku-buku mengenai mencari duit tambahan akan laku seperti goreng pisang panas. Buku-buku karangan Robert Kiyosaki, Azizi Ali, dan lain-lain tokoh dalam dan luar negara menjadi "best seller". Mengapa?, kerana tuntutan hidup di era globalisasi ini memaksa kita mencari pendapatan sampingan. Begitu juga halnya dengan para siswa dan siswi. Apabila disebutkan pendapatan sampingan, jangan hanya terbayangkan restoran-restoran makanan segera sahaja. Zaman kini adalah zaman "outsourcing". Kebanyakan projek-projek yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat besar akan dibahagi-bahagikan kerjanya kepada syarikat-syrikat kecil yang lain. Bagi sesiapa yang pandai di dalam bidang grafik, reka bentuk, media, multimedia, peluang untuk mendapatkan pendapatan sampingan sentiasa terbuka luas. Hanya perlu rajin lebih sedikit sahaja. Bagi yang pandai menulis dan melukis, mereka juga boleh menggunakan bakat tersebut untuk menjana pendapatan. Penjualan buku-buku, terutamanya novel dan cerpen kini menjadi begitu popular. Terokailah ia untuk mendapatkan pendapatan sampingan. Bagi yang tidak mampu untuk melakukan perkara-perkara yang telah disebutkan di atas, ruang motivasi, tiusyen, dan banyak lagi kerja-kerja akademik yang boleh mereka lakukan. Bagi sesiapa yang lebih rajin, carilah pensyarah-pensyarah yang sedang melakukan pengkajian dan juga penyelidikan. Kebiasaannya para pensyarah tidak akan cukup dengan seorang pembantu kajian (research assistant). Tawarkan khidmat anda, mereka pasti akan gembira untuk mengupah anda bekerja. Peluang perniagaan melalui khidmat-khidmat juga ruang yang boleh dieksplorasi oleh para siswa. Terdapat juga di kalangan siswa dan siswi yang terlibat dengan perniagaan MLM, tetapi risikonya tinggi. Perkara yang sering berlaku ialah waktu mereka akan dihabiskan dengan banyak untuk tujuan berkenaan. Mungkin perniagaan insurans lebih ringan daripada MLM.

Apa yang penting di sini, para siswa dan siswi hendaklah mula mengumpul duit untuk berkahwin melalui pendapatan sampingan. Usaha ini akan membantu para siswa dan siswi membina keyakinan di hati para ibubapa. Jikalaulah mereka beralasan anak-anak tidak mampu lagi untuk berkahwin kerana kelemahan di bidang material, maka jika siswa dan siswi tadi sudahpun mempunyai pendapatan sampingan, mereka akan mati hujah. Pengalaman mencari duit di alam kampus juga akan membantu para siswa dan siswi di dalam alam kerjaya mereka. Mereka akan menjadi lebih berdikari, berpengalaman dan lebih berkeyakinan untuk menempuhi kehidupan pasca kampus. Jika mereka ikhlas, Allah akan sentiasa membantu. Apatah lagi jika kerja-kerja itu dilakukan untuk menyahut seruan Allah dan RasulNya.

Kesimpulan Tiada masalah yang Allah berikan kecuali di sana ada jalan penyelesaiannya. Di sebalik semua ujian dan cabaran ada hikmahnya. Kelebihan anak-anak Adam yang tiada pada makhluk lain adalah akalnya. Lontaran ide-ide di dalam artikel ini hanyalah sebahagian dari cetusan minda seorang pendidik. Para siswa dan siswi tentunya lebih kreatif dan lebih mengetahui hal keadaan mereka. Seperkara yang penting, para siswa dan siswi Muslim harus sedar tujuan kehidupan kita diciptakan. Kemuncak kehidupan seorang hamba ialah jika mereka dapat memastikan setiap detik dan saat di dalam kehidupannya berlandaskan syariat Allah. Pastikan juga redha dan juga cinta Allah yang menjadi buruan. Pernikahan adalah sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan keredhaan Allah dan RasulNya. Perkahwinan juga merupakan wasilah untuk seorang hamba menjauhi larangan Allah. Perkahwinan juga akan dapat membantu para hamba untuk melalui setiap langkah di dalam hidupnya di atas naungan kecintaan Allah. Mengapa bertangguh lagi? Ayuh segera mulakan langkah!

KESIMPULAN

Kesimpulannya, pola percintaan ini telah pun mendedahkan bagaimana situasi percintaan di kalangan pelajar universiti. Tidak dinafikan, golongan ini terdiri daripada orang-orang yang bijak pandai dan individu yang bakal memimpin negara suatu hari kelak tetapi melihat kepada masalah-masalah yang ditimbulkan oleh golongan ini membuatkan masyarakat sekeliling berasa ragu akan kewibawaan pelajar universiti. Isu-isu seperti mengandung luar nikah, bercumbu-cumbuan di khalayak ramai, berdua-duaan tanpa segan silu dan banyak lagi meletakkan taraf pelajar universiti itu pada kedudukan yang sangat rendah. Seolah-olah, kebijaksanaan dan kepintaran pelajar tersebut tidak ada gunanya jika tidak bijak mengatur hidupnya. Natijahnya, pelajar universiti akan dipandang hina seandainya keadaan seperti ini terus berlaku dan berleluasa.

Namun, tidak kurang juga terdapat segelintir pelajar universiti yang berjaya mengekalkan hubungan percintaan mereka ke jinjang pelamin. Keadaan ini juga bergantung kepada kecekalan hati individu dalam mengekalkan hubungan mereka dan bijak mengatasi masalah yang dihadapi ketika bercinta. Keadaan ini juga memberi kelebihan kepada pasangan-pasangan seperti ini pada masa depan dalam melayari alam rumah tangga kerana pengalaman ketika bercinta banyak mengajar erti kesabaran dan langkah-langkah dalam mengatasi masalah yang dihadapi.

Oleh yang demikian, percintaan di kalangan pelajar universiti ini membuka minda masyarakat betapa golongan ini dalam usaha mengatur hidup mereka di masa hadapan dan sedaya upaya memberikan yang terbaik untuk pasangan masing-masing. Diharapkan pelajar-pelajar universiti ini bijak mengatur langkah dan sentiasa berpijak di bumi yang nyata.


0 comments:

Post a Comment

Need an Invite?

Want to attend the wedding event? Be our guest, give us a message.

Name Email * Message *

Our Location